Monday, 5 September 2011


http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2009/1022/Kosmo/Dunia/du_04.1.jpg
GAMBAR menunjukkan ayat al-Quran muncul pada kulit Ali.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2009/1022/Kosmo/Dunia/du_04.2.jpg
ALI

MOSCOW - Majlis Mufti Rusia kelmarin sebulat suara menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di wilayah Dagestan, selatan Rusia merupakan amaran tuhan kepada semua penduduk Islam di Rusia dan Dagestan.

Menurut kenyataan majlis itu, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan menyebabkan penduduk Islam di negara tersebut akan mendapat keampunan Allah.

Menurut beberapa laporan, ibu bapa Ali yang tinggal di bandar Kizlyar di wilayah Dagestan dan kalangan imam tempatan mendakwa ayat suci al-Quran itu muncul pada hari Isnin dan Jumaat sebelum hilang dan digantikan dengan ayat baru.

Salah satu ayat itu bermaksud: "Allah ialah Pencipta segala yang ada.".

Apabila ayat suci seterusnya muncul, Ali tidak dapat tidur sepanjang malam dan mengalami demam dengan kepanasan badannya tidak dapat dikurangkan walaupun dengan menggunakan ubat-ubatan kuat.

Semasa dia dilahirkan, Ali didapati menghidap penyakit jantung dan berkaitan dengan otak tetapi dia sembuh sepenuhnya selepas ayat al-Quran mula muncul pada tubuhnya. - Agensi

4 SYARAT HIDUPKAN HATI DENGAN AL - QURAN

Hati yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang. Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri. Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan. Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.
Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran. Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk. Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak. Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:
"Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)." - Surah al-Isra’, ayat 9
Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:
"Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" - Surah Taha, ayat 1-4
Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:
Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).
Allah berfirman bermaksud:
"Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat." - Surah al-Isra’, ayat 78
Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:
"Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?" - Surah Muhammad, ayat 24
Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran. Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya. Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.


Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.
Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.
Keempat, merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.
Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.
Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah. Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.
Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam). Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.
"Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.
"Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207) Disediakan oleh: Biro Penerbitan dan Teknologi Maklumat Masjid An Najah

MEMELIHARA RUMAH TANGGA

Ramai orang yang berumah tangga masih tidak faham akan maksud kekeluargaan dan masih alpa dalam memelihara keutuhan.  Jika perkara ini tidak diberi perhatian secara serius, lama kelamaan akan runtuhlah sendi institusi rumah tangga keluarga Muslim. Seandainya seluruh umat Islam tidak mengambil berat tentang perkara ini, bukan saja institusi rumah tangga malah negara pun akan runtuh kerana kejatuhan nilai moral dan agama dalam kehidupan bangsa. Peliharalah diri dan keluarga kita agar kehidupan bahagia di dunia dan di akhirat serta terhindar dari seksa api neraka.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Umamah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bagi seorang mukmin, setelah bertakwa kepada Allah s.w.t tidak ada sesuatu yang terbaik, selain daripada isteri yang soleh, iaitu isteri apabila disuruh, dia mentaatinya, apabila dipandang menggembirakannya, apabila diberi janji, diterimanya dan apabila ditinggalkan pergi, dirinya dijaga dengan baik begitu juga harta suaminya.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Dalam sebuah hadis lain, daripada Saad bin Abi Waqqas dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Kebahagiaan anak Adam itu ada tiga, manakala kecelakaannya juga ada tiga. Sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang soleh, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang elok. Dan sebahagian kecelakaan manusia itu ialah isteri yang jahat, rumah yang buruk dan kenderaan yang buruk.” (Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis-hadis ini, jelas bahawa seorang perempuan yang soleh, mestilah amanah dan berupaya menjaga maruah diri. Dalam kehidupan berkeluarga, isteri adalah nakhoda dalam rumah. Isteri merupakan penenang jiwa suami tempat bermanja, tempat luahan segala yang tersemat dalam hati. Cukup untuk menghilangkan rasa penat seharian biarpun hanya dengan menjengukkan leher beberapa minit. Isteri adalah pasangan hidup, pengatur rumah tangga, ibu daripada anak-anak yang dilahirkan, tempat menumpahkan rahsia dan mengadu nasib.

Perilaku yang tidak manis menyebabkan fungsi seorang ibu yang menjadi tunjang kebahagiaan itu terhapus. Memang benar sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu boleh mencegah perlakuannya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Demikianlah jaminan Allah s.w.t seperti yang dijelaskan dalam al-Quran, surah al-Ankabut ayat 45. Jaminan Allah s.w.t ini pasti benar. Zina adalah perbuatan mungkar dan kejahatan.

Walaupun demikian, biar betapa tetap sembahyang seseorang itu, tetapi kalau hati dan anggotanya pergi menapak, merangkak, menyusuri gedung-gedung maksiat, fungsi sembahyang itu akan terhindar jauh. Dalam keadaan seperti ini, mungkin lebih selamat biarpun seseorang itu tidak sembahyang langsung, tetapi kakinya tidak berjalan mencari lelaki yang memasang lukah ataupun mencari peluang melepaskan nafsunya. Biar dalam keadaan apa sekalipun sembahyang yang cukup dalam waktunya sambil menjaga pergerakan anggota tubuh, itu adalah lebih baik dan selamat.

Suatu hakikat yang tidak dinafikan, hubungan seksual antara suami isteri tidak pernah dipandang kecil oleh Islam. Justeru itu, suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri hendaklah menentukan giliran antara isteri dengan adil. Jika gagal, dibimbangi perjalanannya tempang ketika di akhirat nanti. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai ramai isteri, dia tidak berlaku adil terhadap mereka, akan dibangkit pada hari akhirat dalam keadaan senget.”

Al-Quran menyentuh kerukunan hidup berpasangan adalah suatu nikmat anugerah Allah s.w.t yang sangat dihargai, iaitu dalam ayat 21 surah al-Rum yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan hidup daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.”

Ayat ini menjelaskan, ketenangan hati dan kemesraan hidup dengan pasangan, merupakan nikmat yang sangat besar dan tujuan utama perkahwinan didirikan, kerana apalah ertinya bersuami atau beristeri jika hidup sentiasa keruh, kehendak batin tidak terlayan dengan sempurna. Justeru, hubungan seks menentukan kebahagiaan suami isteri, maka Islam menjadikannya sebagai amalan yang ada pahala padanya. Dalam sebuah hadis yang panjang, diriwayat Muslim daripada Abu Zar Al-Ghifari r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Apakah kegiatan hbungan suami isteri itu diberi pahala, sedangkan ia dilakukan semata-mata kerana nafsu? Sabda baginda lagi: Bukankah menjadi dosa jika dilakukannya pada jalan haram? Begitu juga ada pahala, kerana ia melakukannya pada jalan yang halal.”

Seperti yang dikatakan, insan dalam syariat Islam, sama ada lelaki mahupun wanita adalah makhluk yang memikul beban tugas dan pada masa yang sama juga mempunyai hak terhadap segala tanggungjawab yang perlu disempurnakan. Ajaran Islam berbeza daripada budaya yang diamal dalam masyarakat Barat. Mereka selalu bertanya: Apa hak yang patut saya peroleh?

Sebaliknya, Islam mengajar umatnya supaya bertanya: Apakah kewajipan saya yang saya belum penuhi, kemudian baru beralih kepada hak yang patut saya peroleh. Memang majikan dituntut membayar upah, tetapi setelah kerja sempurna dijalankan. Sabda Nabi yang bermaksud: “Bayarlah upah kepada pekerja sebelum kering keringatnya.”

Hak seseorang manusia pada hakikatnya adalah suatu kewajipan yang ke atas orang lain. Sebagai contoh, hak anak-anak mendapatkan kasih sayang ibu bapa. Pada masa yang sama ia adalah tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anaknya. Anak-anak seolah-olah berhutang kasih sayang pada kedua-dua ibu bapanya, kerana mereka bertanggungjawab mentaati ibu bapa, terutama setelah mereka uzur atau lanjut usia.

Hubungan antara suami isteri adalah dibuat melalui suatu ‘kontrak’ atau ikatan yang membabitkan sama-sama mempunyai hak dan tanggungjawab secara timbal balas. Setiap tanggungjawab yang disempurnakan, sepatutnya dibayar dengan hak yang dinikmati. Dengan kata lain, suami dan isteri, masing-masing mempunyai hak mengambil dan memberi. Tiada hak yang diambil dengan percuma tanpa tanggungjawab yang diberi.

Ikuti apa kata al-Ghazali yang menyatakan bahawa struktur asas bagi pembinaan rumah tangga bahagia. Katanya: Sesebuah rumah hendaklah dibina di atas tiga struktur asas, iaitu: ‘al-sakinah’ (ketenangan), ‘al-mawaddah’ (kemesraan) dan ‘al-tarahum’ (timbang rasa).

Asas pertama, ketenangan, membawa maksud, hendaklah suami isteri berpuas hati dengan pasangannya. Mereka seharusnya tidak berminat dengan yang lain. Kedua, kemesraan pula membawa erti suka dan duka secara bersama. Ketiga, timbang rasa pula lebih banyak merujuk kepada akhlak yang mulia serta tahu bersyukur atas nikmat yang diperoleh. Sesebuah rumah tangga yang berjaya didirikan di atas tiga struktur ini merupakan keluarga yang paling bahagia, bahkan inilah keluarga yang mampu mengatasi segala cabaran hidup dan ibu bapa yang bakal melahirkan zuriat yang sihat dan keberkatan yang berpanjangan.

Harta benda dan kemewahan hidup tidak menjamin kebahagiaan yang dicari-cari. Kadang-kadang hidup di sebuah rumah usang, pasangan lebih mampu mengukir senyum yang berterusan. Perhatikan sebuah hadis riwayat Sa’d ibn Abu Waqqas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang membahagiakan: Isteri yang setia, kenderaan yang senang ditunggangi dan kediaman yang selesa.”

Seseorang yang ada niat mendirikan rumah tangga, hendaklah berhati-hati mencari pasangan yang ada padanya ciri-ciri yang disebutkan di dalam hadis di atas. Lelaki dan perempuan sama sahaja, bahkan perempuan lebih perlu berhati-hati dalam memilih bakal suaminya. Perlu diingat, kalangan lelaki ada juga yang hanya berfikir tentang haknya, tetapi melupakan tanggungjawabnya. Selalunya orang ini sombong atau besar diri, tidak sudi melihat keperluan pada pihak lain. Rumah tangga Islam perlu didirikan di atas hak dan tanggungjawab bersama, mengikut kaedah yang dinyatakan dalam al-Quran, iaitu isteri-isteri mempunyai hak yang sama, seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka. Dalam pada itu, orang lelaki mempunyai satu darjah kelebihan, (al-Baqarah: 228). Satu darjah kelebihan yang dimaksudkan ialah menjadi ketua keluarga, atau pengerusi dalam persyarikatan hidup.

Menjadi isteri memerlukan kelayakan yang cukup. Wanita yang berhati batu, tidak pandai memujuk suami, sering menuntut hak dan mengada-adakan masalah, tetapi gagal menunaikan tanggungjawab, tidak layak menjadi suri rumah, lebih-lebih lagi menjadi ibu kepada anak-anak yang bakal menyambung zuriat. Kelayakan yang serupa juga hendaklah ada pada diri lelaki yang ingin menjadi suami.

Suatu kisah yang cukup menarik diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri r.a katanya: “Seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w kerana anak gadisnya tidak mahu berkahwin.”

Sabda Nabi kepada gadis itu yang bermaksud: “Patuhilah kehendak bapamu. Jawab gadis: Saya tidak akan kahwin sehingga Rasulullah s.a.w menyatakan apa tanggungjawab saya sebagai isteri. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Jika suamimu berkudis, lalu engkau rawat kudisnya dengan mulutmu, maka perbuatan itu tidak wajar , dianggap sebagai keterlaluan. Jawab gadis: Demi Allah s.w.t, kalau begitu tugas isteri, aku tidak akan kahwin selama-lamanya. Sabda Nabi kepada bapanya: Jangan engkau paksa dia berkahwin. Biarlah dia membuat keputusan sendiri.” (Qadaya al-Mar’ah, halaman 128).

Sebenarnya apa yang dikatakan kepada isteri terhadap suami, itulah juga dikatakan kepada lelaki terhadap isterinya. Jika ada suami yang berasa jijik merawat kudis-kudis isterinya, atau isteri hanya pada waktu sihat sahaja, maka lebih baik bagi lelaki ini berpuasa sahaja, sesuai dengan nasihat Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa, kerana puasa menjadi pengikat nafsunya.”

FAHAMI ASAS PERKAHWINAN

Perkahwinan merupakan keperluan fitrah setiap manusia yang memberikan banyak manfaat, di antaranya adalah: Pembentukan sebuah keluarga yang di dalamnya seseorang dapat menemukan kedamaian fikiran. Orang yang tidak berkahwin bagaikan seekor burung tanpa sarang. Perkahwinan merupakan perlindungan bagi seseorang yang merasa seolah-olah hilang di belantara kehidupan; orang dapat menemukan pasangan hidup yang akan berbahagi dalam kesenangan dan penderitaan. Ghairah seksual merupakan keinginan yang kuat dan juga penting.

Setiap orang harus mempunyai pasangan untuk memenuhi keperluan seksualnya dalam lingkungan yang aman dan tenang. Orang harus menikmati kepuasan seksual dengan cara yang benar dan wajar. Orang-orang yang tidak mahu berkahwin seringkali menderita ketidakaturan baik secara fizikal mahupun psikologi. Ketidakaturan semacam itu dan juga persoalan-persoalan tertentu merupakan akibat langsung dari penolakan golongan muda terhadap perkahwinan. Reproduksi atau sebagai wadah untuk melangsungkan keturunan.

Melalui perkahwinan, perkembangbiakan manusia akan berterusan. Anak-anak adalah hasil dari perkahwinan dan merupakan faktor-faktor penting dalam memantapkan asas keluarga dan juga merupakan sumber kebahagiaan sejati bagi ibu bapa mereka. Di dalam al-Quran dan hadis, perkahwinan dan anak-anak sangat ditekankan. Allah s.w.t menyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri.” (QS 30:21)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud” “Tidak ada suatu bentuk yang lebih baik di dalam Islam daripada perkahwinan. Dan barangsiapa memilih untuk mengikuti sunnahku, maka dia harus berkahwin dan melahirkan anak-anak sehingga aku dapat melihat umatku dalam jumlah yang besar.”

Saidina Ali menyatakan, “Berkahwinlah kerana ini merupakan sunnah Nabi.”

Imam Ridha menyatakan, “Milik seorang lelaki yang paling berharga adalah isteri yang setia yang bila dia melihat isterinya itu, dia menjadi bahagia, dan isterinya itu melindungi harta dan kehormatannya ketika suaminya sedang pergi.”

Apa yang kita bahaskan setakat ini hanya dari segi duniawi dan segi kemakhlukan dalam perkahwinan yang dilakukan oleh haiwan: keuntungan dalam kebersamaan dan reproduksi. Tujuan perkahwinan yang sejati bagi manusia memiliki jenis yang berbeza. Kehadiran manusia di dunia bukan semata-mata untuk makan, minum, tidur, mencari kesenangan atau mengumbar nafsu dan kemudian mati dan dihancurkan. Status manusia lebih tinggi daripada perbuatan-perbuatan seperti itu. Manusia diharuskan melatih diri dan jiwa mereka dengan jalan mencari ilmu, melakukan perbuatan-perbuatan baik, dan bertingkah laku terpuji. Manusia diharuskan mengambil langkah-langkah di jalan yang lurus untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Manusia adalah suatu ciptaan yang mampu membersihkan jiwa dengan jalan menghindari perbuatan-perbuatan buruk dan melatih diri berkelakuan baik bagi mencapai tingkat yang tidak mampu dicapai oleh malaikat. Manusia adalah ciptaan abadi. Manusia telah datang ke dunia dan melalui bimbingan para Rasul dan contoh penerapan program-program yang ditetapkan Islam - untuk memelihara kebahagiaannya di dunia dan akhirat - ia dapat hidup dengan damai secara kekal.

Oleh sebab itu, tujuan perkahwinan harus dicari dalam konteks spiritual. Tujuan sesebuah perkahwinan bagi orang beragama harus merupakan suatu alat untuk menghindarkan diri dari perbuatan jelek dan menjauhkan diri dari dosa. Dalam konteks inilah pasangan yang baik dan sesuai memegang peranan penting. Apabila dua orang beriman melalui perkahwinan membentuk sebuah keluarga, maka hubungan seksual mereka pun akan memberikan keuntungan dalam memperkuatkan rasa saling mencintai dan menyayangi yang ada dalam diri mereka.

Bagi pasangan yang demikian itu, tidak akan ada bahaya yang mengancam dalam hal penyelewengan seksual, kebiasaan-kebiasaan yang membahayakan, ataupun perbuatan-perbuatan yang diharamkan. Rasulullah s.a.w dan semua ulama telah memberikan penekanan yang kuat pada institusi perkahwinan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang melaksanakan perkahwinan maka dia telah melindungi sebahagian daripada agamanya.” Imam Shadiq menyatakan, “Solat dua rakaat yang dilakukan oleh orang yang berkahwin lebih baik dari solat 70 rakaat 

Saturday, 3 September 2011

KESILAPAN - KESILAPAN YANG SERING DILAKUKAN DI HARI RAYA

Ramai umat islam yang tidak sedar dan sering melakukan  kesilapan -kesilapan di hari raya. Antara kesilapan yang dilakukan di hari raya ialah:

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.


7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.


Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.

AMALAN YANG DIGALAKKAN DI HARI RAYA


Hari raya merupakan salah satu hari yang penuh keberkatan dan rahmat. Maka seluruh umat islam haruslah mengambil kesempatan ini dengan melakukan amalan - amalan yang baik dan mulia.
Antara amalan yang digalakkan di hari raya ialah:

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".


2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalahhu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.


HIKMAH BERPUASA ENAM DI BULAN SYAWAL



1.    
Puasa enam merupakan puasa sunat yang dilakukan didalam bulan syawal kecuali pada 1 syawal.
Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :

" Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :


"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).


Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran.

Sabda Rasulullah saw,

Yang bermaksud, "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, keluar (dihapus) dosanya seolah-olah dia baru dilahirkan oleh ibunya.

2. Seseorang mukmin yang mengqada'kan puasa fardhu dalam bulan Syawal untuk tujuan dapat fadhilat puasa enam hari dalam bulan Syawal, bagaimana pandangan Islam tentang perkara ini?

Bagi sesiapa yang mengqada'kan puasa fardhu dalam bulan Syawal akan mendapat puasa enam hari dalam bulan Syawal sekalipun dengan niat qada' sahaja. Sekiranya dia berniat qada' berasingan dengan niat puasa enam hari bulan Syawal itu adalah Afdhal.


Hal ini ditasybihkan dengan pendapat tentang solat sunat Tahiyyat al-Masjid. Seseorang itu memperolehinya sama ada dengan solat fardhu atau solat sunat yang lain sekalipun tidak berniat solat Tahiyyat al-Masjid Tahiyyat al-Masjid.

3. Seseorang muslim yang sedang berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal pada waktu yang sama dia meraikan Aidil Fitri (ziarah atas undangan atau menyambut tetamu) dalam keadaan dirinya berpuasa, bagaimana penyelesaian yang Islam anjurkan untuk dua keadaan ini?

Sebagai maklumat awal:

• i. Haram berpuasa pada awal Syawal. Sehubungan dengan itu, kebanyakan orang mengambil peluang pada hari tersebut untuk memenuhi undangan dan berziarah.

• ii. Puasa sunat enam hari bulan Syawal boleh dilakukan secara berturut-turut atau berasingan dalam bulan Syawal.

• iii. Ia merupakan puasa sunat dan bukannya wajib.

• iv. Bagi seorang isteri perlu mendapatkan keizinan daripada suaminya.


Sekiranya dia didatangi tetamu hendaklah dia meraikan tetamunya. Sunat dia berbuka puasa sunat tersebut. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah,

Yang bermaksud, Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Qiamat maka muliakanlah tetamunya.

Ini kerana tetamu yang datang membawa rezeki kepada tuan rumah. Sabda Rasulullah,

Yang bermaksud, Wahai manusia! Janganlah kamu membenci kehadiran tetamu. Sesungguhnya mereka datang membawa rezeki dan apabila keluar (pulang) membawa dosa ahli rumah tersebut keluar. 

Friday, 2 September 2011

Cara Menyambut Hari Raya Dalam Islam

Menurut Anas ra, tatkala Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, Baginda telah menukarkan dua perayaan dengan dua perayaan yang jauh lebih baik, iaitu Aidilfitri (Hari Raya Puasa) dan Aidiladha (Hari Raya Haji atau Korban).

CARA NABI MENYAMBUT HARI RAYA


1. BERSOLAT HARI RAYA SECARA BERJAMAAH Rasulullah saw sentiasa melaksanakan solat hari raya secara berjemaah di padang atau lapangan terbuka.
Ini akan memberi kemudahan dan kesempatan kepada kaum wanita yang tidak dapat menunaikan solat hari raya kerana uzur untuk mendengar pesanan dan nasihat Rasulullah saw yang disampaikan melalui khutbah hari raya.

2. PERGI DAN BALIK DARI TEMPAT SOLAT MELALUI JALAN BERBEZA. Tatkala pergi dan balik dari tempat solat hari raya, Rasulullah sentiasa pergi dan balik melalui jalan yang berlainan, menurut Jabir ra (Hadis riwayat Bukhari).
Apakah sebab Rasulullah berbuat demikian? Tujuan beliau tentulah dapat bertemu dengan lebih ramai orang yang berbeza. Baginda bersalam-salaman, memohon maaf zahir dan batin.

3. MEMBAWA ANAK ISTERI KE TEMPAT SOLAT HARI RAYA. Ketika melaksanakan solat hari raya, Rasulullah saw sentiasa membawa serta isteri dan anak-anaknya.

4. JAMAH MAKANAN SEBELUM KE MASJID. Ketika Ramadan berlalu dan Aidilfitri tiba, umat Islam telah kembali dibolehkan makan dan minum pada siang hari. Juga, kita tidak digalakkan memakan makanan yang pedas-pedas. Dari segi kesihatan, perut kita baru saja berehat dan tidak perlu disogokkan makanan yang tidak sesuai atau berlebihan. Mentelah, Rasulullah ada menegur sahabat yang berperut gendut (buncit atau gemuk).

5. BERPAKAIAN CANTIK UNTUK MENUNAIKAN SOLAT Rasulullah saw sentiasa berpakaian baru, kemas dan indah ketika melaksanakan sembahyang Aidilfitri. Sebelum itu, Baginda selalu mandi terlebih dahulu dan kemudian memakai sedikit wangi-wangian, menurut riwayat Ibnu Qayyim al-Jauziyah.

6, MEMBANYAKKAN BACAAN TAKBIR. Sejak malam hari Aidilfitri sehingga imam datang untuk memulakan solat pada hari raya, umat Islam disunatkan memperbanyak bacaan takbir.

7. BERBALAS SALAM. Apabila bertemu, para sahabat Rasulullah sentiasa memberi dan menjawab ucapan salam hari raya dengan berkata: Taqabbalallahu Minna wa Minkum (Semoga Allah menerima segala kebaikan kami dan kebaikan kamu). (Hadis riwayat Ahmad).

8. SAAT AKHIR SAAT FITRAH DAN SEDEKAH Zakat fitrah adalah suatu tanggungjawab sosial yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam sekali setahun pada bulan Ramadan.